SIAPA PEMIMPIN NEGARA?
Penjajahan British di Tanah Melayu yang penuh dengan kezaliman, dasar pecah dan perintah dan diskriminasi terhadap penduduk pelbagai telah berakhir pada tahun 1957 dengan mencapai kemerdekaan atas titik peluh dan pergandingan bahu pemimpin-pemimpin utama negara terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan.
66 tahun telah berlalu sejak kemerdekaan, komen berbaur rasisme masih dijadikan mainan politik oleh segelintir pemimpin negara yang seharusnya bertanggungjawab untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Seseorang pemimpin negara bukan sahaja perlu berkarisma, berpendidikan, berilmu pengetahuan tinggi dan bijak mengubal polisi negara tetapi juga seharusnya menjaga keharmonian rakyat dan keamanan negara. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu pengajaran untuk rakyat dan para pemimpin supaya mengelakkan peristiwa hitam sebegitu berulang pada masa kelak.
Baru-baru ini, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pernah menyandang jawatan tertinggi eksekutif negara sebanyak dua kali telah membuat pendakwaan bahawa masyarakat India kurang setia terhadap negara Malaysia kerana masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka. Penyataan sebegini yang tidak berasas boleh mencetuskan tanggapan negatif dalam kalangan generasi muda lagi-lagi keluar daripada mulut seorang pemimpin negara yang tersohor pada suatu ketika dahulu. Komen dan penyataan berunsur memecahbelahkan kaum ini kerap kita dengar daripada mulut pemimpin-pemimpin negara. Apakah ini merupakan pemimpin yang kita diinginkan?
Corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW sewaktu memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Madinah perlu diikuti dan dijadikan contoh yang terbaik untuk pemimpin hari ini. Kepimpinan Rasulullah SAW yang didasari dengan sifat hormat-menghormati dan kasih sayang menjadikan Baginda SAW dan agama Islam itu sendiri dipandang mulia di mata masyarakat majmuk Madinah ketika itu.
Tidak cukup sekadar mengajar prinsip Rukun Negara kepada pelajar-pelajar sekolah malah semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menghayati dan menjadikan praktis semasa menjalankan tanggungjawabnya. Mereka harus angkat sumpah dengan pelafazan prinsip-prinsip Rukun Negara sebelum memegang jawatan mereka.
Perpaduan tunjang kejayaan dan kamakmuran Malaysia. Tindakan undang-undang yang tegas harus diambil ke atas pemimpin negara yang menggunakan isu perkauman atau semangat kebencian terhadap sesuatu kaum sebagai alat memancing undi. Jawatan ahli Parlimen atau ahli DUN harus dipecat sekiranya mengungkitkan isu perkauman atau menyentuh sentiment-sentimen perkauman di luar Parlimen atau DUN. Pindaan undang-undang ini harus dilaksanakan dengan segera oleh pihak berkuasa.
Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dengan tegasnya mengingati para pemimpin yang ada di Malaysia hari ini supaya harus sedar mereka diberi kepercayaan dan diamanahkan oleh rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya melalui proses demokrasi untuk memacu negara ini ke arah kemajuan dan masa hadapan yang gemilang di samping menjaga keharmonian rakyat. Tindakan atau penyataan yang memudaratkan perpaduan rakyat tidak boleh diterima lagi dan mesti dicegah sama sekali!