Penurunan Penyertaan Belia Dalam Pertubuhan Belia: Isyarat Yang Memerlukan Tindakan Strategik

Majlis Belia India Malaysia (MIYC) memandang serius kenyataan yang dilontarkan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, mengenai penurunan drastik penyertaan belia dalam pertubuhan belia – daripada 4.5 juta orang pada era 1990-an kepada hanya sekitar satu juta orang pada hari ini.

Fenomena ini bukan sahaja mengejutkan, bahkan menggambarkan suatu realiti yang genting dan perlu ditangani secara holistik. Seperti kata pepatah, “api dalam sekam jangan dibiarkan menyala”. Penurunan ini mencerminkan kegagalan sistemik dalam menarik minat generasi muda terhadap wadah pembangunan kepimpinan, jati diri dan semangat kenegaraan.

MIYC menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperkasakan belia melalui penurunan had umur belia kepada 30 tahun, selaras dengan pendekatan beberapa negara serantau seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Korea dan Australia. Walau bagaimanapun, kami berpandangan bahawa perlaksanaan dasar ini mestilah disokong dengan tindakan bersasar dan hasil yang boleh diukur.

Meskipun penguatkuasaan had umur baharu akan bermula pada 1 Januari 2026, statistik rasmi peningkatan penyertaan belia dalam pertubuhan masih belum kelihatan, walaupun pelbagai inisiatif seperti Program Kembara Jumpa Anak Muda (K-JOM) telah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Cadangan penting seperti pembukaan akses pertubuhan belia ke sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk tujuan promosi, perekrutan serta penubuhan kelab belia masih berada di peringkat perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Persoalan penting yang harus dijawab: adakah masa tujuh (7) bulan yang masih berbaki mencukupi untuk melihat peningkatan signifikan dalam penyertaan belia sebelum berlakunya proses ‘persaraan wajib’ bagi kelompok pemimpin belia berusia 31 hingga 40 tahun?

MIYC menyifatkan penurunan penyertaan belia ini sebagai suatu tanda amaran yang tidak boleh dipandang enteng. Justeru itu, kami menyarankan beberapa syor berikut yang kami percaya boleh memperkukuh ekosistem pembangunan belia negara:

1. Pendekatan Libat Urus yang Adaptif dan Inklusif MIYC percaya bahawa pendekatan konvensional dalam memupuk penyertaan belia perlu diganti dengan strategi yang lebih responsif terhadap realiti semasa seperti bersifat digital, dua hala dan berasaskan nilai serta pengalaman. Belia kini lebih tertarik kepada platform yang memperkasa suara mereka. Seperti dikatakan, “lain padang, lain belalang; lain orang, lain ragamnya”, maka strategi perlu disesuaikan dengan kehendak generasi masa kini.

2. Penilaian Semula Had Umur Belia Secara Inklusif dan Berperingkat MIYC mencadangkan agar penurunan had umur belia tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kesinambungan kepimpinan dalam pertubuhan belia. Langkah ini seharusnya hanya diteruskan setelah terdapat bukti kukuh bahawa penyertaan belia bawah 30 tahun meningkat secara konsisten melalui pelan peralihan yang terancang.

3. Akses Pertubuhan Belia ke Sekolah dan IPT MIYC menggesa agar Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi mempercepatkan kelulusan bagi pertubuhan belia khususnya yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk menjalankan program promosi dan perekrutan di sekolah serta IPT. Tindakan ini akan membuka ruang lebih awal kepada pendedahan tentang kepimpinan, advokasi dan tanggungjawab sosial kepada generasi pelapis negara.

4. Peningkatan Peruntukan Kepada Pertubuhan Belia di Peringkat Daerah dan Parlimen. Kami menyarankan agar kerajaan menyalurkan lebih banyak sokongan kewangan secara bersasar kepada pertubuhan belia di peringkat akar umbi. Dengan peruntukan yang mencukupi, mereka dapat bergerak aktif dan menjalankan pelbagai program pembangunan insaniah, literasi digital, keusahawanan dan advokasi yang menyeluruh.

Sebagai badan induk yang mewakili suara dan aspirasi belia India di Malaysia, MIYC sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan serta semua agensi berkaitan bagi merangka pelan tindakan yang menyeluruh, lestari dan berimpak tinggi.

YAGANES SUKAMARAN
Ketua Penerangan
Majlis Belia India Malaysia
02 MEI 2025

TAGS

CATEGORIES

Uncategorized

One response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *