PERUTUSAN PRESIDEN MBM
Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) yang diterajui oleh Presiden Saudara Danesh Basil atas kejayaan penubuhan belia secara inklusif yang aktif di segenap negeri. Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat MIYC sebagai salah satu pertubuhan belia yang aktif memperjuangkan isu kemanusiaan, ekonomi dan sosial demi keterlibatan pembangunan secara holistik dalam kehidupan keseluruhan penduduk. Inisiatif ini adalah usaha yang sangat mulia dan harus diteruskan oleh MIYC.
Golongan belia merupakan kumpulan terbesar negara, merangkumi 45.47% daripada jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 32 juta. Ini menunjukkan bahawa generasi muda adalah tenaga utama negara dan sangat berpotensi untuk menerajui masa depan negara. Belia menjadi teras utama pembangunan negara kerana mereka adalah golongan yang paling bertenaga dan produktif, menjadikan mereka “enjin pembangunan.”
MBM berharap kepimpinan MIYC akan terus komited memperkasakan keupayaan organisasi dan memperluas peranan. Saya juga percaya bahawa golongan belia harus dibimbing dengan agenda pembangunan kepada negara dan memperkukuh perpaduan untuk menutup perbezaan agama, kaum, atau budaya. Saya secara peribadi berharap MIYC akan terus memainkan peranan aktif dalam melahirkan pemimpin muda yang kompeten. Saya yakin bahawa di bawah kepimpinannya, MIYC mempunyai rangka kerja yang kukuh untuk membentuk pemimpin masa depan yang berjaya dalam pelbagai bidang. Usaha ini mesti diteruskan kerana ia memberi manfaat besar kepada pergerakan belia di seluruh negara.
Sekian, terima kasih.
Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid
Presiden
Majlis Belia Malaysia
